Friday, 21 September 2012

SEKALUNG PENGHARGAAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Bersyukur kepada Allah di atas nikmat dan kurnia-Nya dapat saya menyediakan sebuah blog yang memaparkan serba sedikit ilmu berhubungan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. 

Untuk itu, jutaan terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan yang setia membantu dalam menyiapkan tugasan ini, begitu juga kepada pensyarah saya yang banyak membantu dalam menyediakan bahan-bahan berkaitan dan juga kepada semua individu yang terlibat dalam saya memperoleh sumber dalam talian. 

Semoga diberkati dan dipermudahkan segala urusan kalian dunia dan akhirat insyaallah... :-)

BAHASA JIWA BANGSA (LIRIK & VIDEO)

 

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

KEPENTINGAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

Semua rakyat Malaysia sedia maklum dengan penubuhan Jawatankuasa Razak pada tahun 1956, jelas dapat dilihat bahawa wawasan yang ingin dicapai dalam pembentukkan negara berkaitan juga dengan aspek bahasa juga diambil kira. Laporan Razak ini telah menegaskan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kita. Rancangan ini kemudian telah dikukuhkan lagi oleh Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Jawatankuasa ini telah menjadi asas kepada pembentukan Akta Pendidikan 1961 dan diperteguhkan lagi dalam Akta Pendidikan 1996.
 
Peranan atau kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan ilmu dapat dilihat apabila bahasa ini dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara kita. Apabila bahasa ini digunakan maka bahasa Melayu dapat mengisi erti pendemokrasian pendidikan kerana sebahagian besar rakyat mendapat ilmu melalui satu bahasa sahaja. Apabila semua orang mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu maka jurang pendidikan dapat dielakkan kerana kita sudah mempunyai sistem pendidikan kebangsaan dan bukan sistem yang memisahkan jurang antara rakyat. Selain daripada itu penggunaan bahasa kebangsaan ini juga dapat mengembangkan ilmu dan memudahkan proses penyampaian ilmu kepada masyrakat menjadi lebih berkesan.
 
Kejayaan hasil daripada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila ratusan ribu ahli ilmu, korporat, professional dan tenaga pembangunan negara dalam pelbagai bidang telah berjaya dihasilkan setelah Akta Pendidikan ini diwartakan. Aspek kejayaan sistem pendidikan mengunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kerana kesatuan sikap, pemikiran. Sistem nilai dalam kalangan generasi muda kita. Selain daripada itu disebabkan juga budaya berbahasa yang secara relatifnya seragam. Kejayaan dan kepentingan semua ini dapat dilihat oleh pihak sekolah yang berperanan mengajar generasi masa kini bahasa Melayu. 
 
Melalui bahasa Melayu juga prasangka buruk antara kaum dapat dielakkan. Selain daripada kepentingan yang telah disebutkan tadi bahasa Melayu juga amat penting untuk hal ehwal pembinaan negara kita sebagai negara bangsa. Hal ini kerana bahasa Melayu amat penting untuk mengeratkan perhubungan dalam pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan yang dikenali sebagai Malaysia. Sesungguhnya perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu amat penting untuk menyatukan roh bangsa, asas jati diri dan citra bangsa selain daripada untuk menyampaikan ilmu pengetahuan.

KEPENTINGAN BAHASA MELAYU

Tiada bahasa lain di Malaysia yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat negara ini selain daripada bahasa Melayu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang difahami seluruh rakyat negara ini dan dalam aspek menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum seperti di Malaysia penggunaan satu bahasa yang saling difahami oleh semua rakyat adalah sangat penting.

"Justeru dalam konteks negara kita Malaysia, harus kita akui tiada bahasa lain yang mampu menyatupadukan kita selain daripada bahasa Melayu,” katanya dalam teks ucapan pada Majlis penutupan Program 1Malaysia Sejuta Puisi di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kanan (Pengurusan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr Rothiah Omar.

Rais berkata, penggunaan dan pembudayaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian tidak mustahil mampu untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia seterusnya memberi penghayatan yang lebih mudah kepada gagasan 1Malaysia.

www.utusan.com.my

Wednesday, 19 September 2012

PANTUN BUDI BAHASA MELAYU

Burung serindit terbang melayang,
mari hinggap di ranting mati,
bukan ringgit dipandang orang,
budi bahasa rangkaian hati.

Anak teruna menanam betik,
Buah cempedak dalam raga,
Apa guna berwajah cantik,
Kalau kurang budi bahasa.

Ayam hutan terbang ke hutan,
Tali tersangkut pagar berduri,
Adik bukan saudara bukan,
Hati tersangkut kerana budi.